Monday 28 May 2012

Bersiap hadapi gelombang kristianisasi

MELAKA 27 Mei - Semua badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini perlu berada di saf hadapan bagi menghadapi gelombang kristianisasi yang sedang mengancam kehidupan umat Islam hari ini.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, usaha mempertahan dan menyelamatkan akidah umat Islam hari ini tidak lagi sama seperti 30 tahun lalu kerana perlu mendepani pelbagai cabaran.
Cabaran-cabaran itu, katanya ialah merelakan diri menyokong kumpulan yang terang-terang menentang Islam, liberalisme dan pluralisme agama sehingga agama Islam tidak diiktiraf sebagai agama paling benar.
"Saya berani katakan hari ini, kegentingan itu hampir putus, mengenai keutuhan, ilmu, komitmen dan penghayatan mengenai akidah islamiah yang sudah terlalu longgar.
"Anak-anak hari ini sudah tiada lagi tempat untuk bersandar, emak dan ayah pun serupa, tidak ke masjid bagi mendedahkan anak kepada ustaz dan imam yang akhirnya kelonggaran akidah membuka kepada ancaman kristianisasi," kata Presiden Jalur Tiga (Jati) itu dalam ceramahnya pada Himpunan Sejuta Umat peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Tuesday 22 May 2012

Ganggu PM: Pemuda UMNO cabar berdebat

KUALA LUMPUR 21 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO mencabar seorang individu yang dikenali sebagai Hiu Woong Sin untuk berdebat, berikutan tindakannya mengganggu ucapan Perdana Menteri di London, baru-baru ini.
Exco pergerakan itu, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pelawaan debat itu dibuat ekoran tindakan biadab lelaki itu yang menimbulkan kekecohan semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada program santai Sepetang Bersama Perdana Menteri di Dewan Indigo, Arena O2 di timur London pada 14 Mei lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO menegaskan, pihaknya akan menguruskan debat tersebut dalam suasana yang lebih harmoni dan ilmiah di London sekiranya Woong Sin bersetuju menyahut cabaran itu.
Katanya, melalui debat itu, segala perkara dan permasalahan yang terpendam termasuk isu mengenai perhimpunan Bersih dapat diluahkan dengan lebih matang dan rasional.
“Itu barulah dikatakan sebagai berani bersuara secara intelektual dan pada masa yang sama masih menitikberatkan nilai akhlak sebagai rakyat Malaysia.
“Bukannya dengan menjerit-jerit seperti orang yang tiada pelajaran," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tuesday 15 May 2012

SPR sudah bersiap sedia

SHAH ALAM 14 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap sedia dengan segala kelengkapan untuk menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam bulan ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, meskipun program penerangan kepada petugas di seluruh peringkat sedang berjalan manakala taklimat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) hanya akan berakhir pada pertengahan Jun ini, SPR tetap bersedia melaksanakan proses pilihan raya umum.
''SPR merancang persiapan pilihan raya sudah lama seperti program taklimat, proses penghantaran logistik, tempahan perolehan dan jadual pegawai-pegawai kita padat, mereka berada di lapangan untuk mengadakan taklimat di seluruh peringkat.

Template by:

Free Blog Templates