Tuesday 22 May 2012

Ganggu PM: Pemuda UMNO cabar berdebat

KUALA LUMPUR 21 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO mencabar seorang individu yang dikenali sebagai Hiu Woong Sin untuk berdebat, berikutan tindakannya mengganggu ucapan Perdana Menteri di London, baru-baru ini.
Exco pergerakan itu, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pelawaan debat itu dibuat ekoran tindakan biadab lelaki itu yang menimbulkan kekecohan semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada program santai Sepetang Bersama Perdana Menteri di Dewan Indigo, Arena O2 di timur London pada 14 Mei lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO menegaskan, pihaknya akan menguruskan debat tersebut dalam suasana yang lebih harmoni dan ilmiah di London sekiranya Woong Sin bersetuju menyahut cabaran itu.
Katanya, melalui debat itu, segala perkara dan permasalahan yang terpendam termasuk isu mengenai perhimpunan Bersih dapat diluahkan dengan lebih matang dan rasional.
“Itu barulah dikatakan sebagai berani bersuara secara intelektual dan pada masa yang sama masih menitikberatkan nilai akhlak sebagai rakyat Malaysia.
“Bukannya dengan menjerit-jerit seperti orang yang tiada pelajaran," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

0 comments:

Post a Comment

Template by:

Free Blog Templates